Kisah bermula apabila Seri Betara Majapahit berbincang dengan Patih Gajah Mada untuk menewaskan Melaka setelah kematian penjurit tujuh bersaudara. Ketujuh-tujuh penjurit dibunuh oleh laksamana di Bukit Cina. Justeru, Patih Gajah Mada merancang untuk mengarahkan Kertala Sari membunuh Sultan Melaka dan laksamananya. Kertala Sari bersetuju dengan permintaan Patih Gajah kerana ingin membalas dendam atas kematian ayahnya yang dibunuh oleh laksamana Melaka.
Patih Gajah membawa Kertala Sari mengadap Seri Betara dan menerangkan bahawa Kertala Sari merupakan penjurit yang sangat handal. Kehebatan Kertala Sari mengalahkan negeri Daha seorang diri menyebabkan Seri Betara menitahkan Kertala Sari segera ke Melaka untuk membunuh Sultan Melaka dan laksamana Melaka dan menjanjikan jawatan penggawa agung kepadanya.
Ketika berada di Melaka Kertala Sari menyemar sebagai pengikut Patih Kerma Wijaya. Di Melaka Kertala Sari mencuri harta saudagar-saudagar dan orang-orang kaya serta mencabuli isteri-isteri mereka. Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada Sultan Melaka dan menitahkan agar Temenggung serta orangnya menjaga keselamatan dan mengawal keadaan negeri Melaka dari kejadian kecurian. Namun kecurian masih tetap berlaku sehingga melibatkan rumah Bendahara. Hal ini kerana Kertala Sari menggunakan ilmu kesaktian untuk menggelakkan diri daripada ditangkap. Melihat pada keadaan tersebut laksamana menawarkan diri kepada Sultan untuk mengawal istana kerana mengikut firasatnya penjurit akan masuk ke istana pula.
Dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta ilmu yang dimiliki oleh laksamana berjaya mengagalkan rancangan Kertala Sari untuk mencuri harta raja,membakar dan mengamuk serta mengambil isteri-isteri sultan. Kertala Sari berjaya dibunuh oleh laksamana di tengah pasar, manakala kemaluan Kertala Sari dipotong sebagai bukti laksamana membunuhnya. Mayat Kertala Sari telah dikerat-kerat anggota badanya oleh penduduk yang menjumpai mayat tersebut untuk dibuktikan kepada sultan bahawa merekalah yang telah membunuh Kertala Sari. Namun laksamana telah menunjukkan bukti yang lebih kukuh kepada sultan bahawa beliaulah yang telah berjaya membunuh Kertala Sari. Baginda sultan telah memberi anugerah kepada laksamana atas kejayaan membunuh Kertala Sari
Segala hasil curian yang telah disimpan oleh Kertala Sari di Bukit Cina berjaya ditemui dan Sultan telah mengarahkan semua empunya barang untuk menuntut barang-barang tersebut. Baginda sultan telah meminta supaya empunya barang-barang tersebut memberikan dua pertiga bahagian dari barang-barang tersebut kepada laksmana. Namun laksamana hanya bersetuju untuk mengambil satu bahagian sahaja dan barang-barang tersebut kesemuanya telah diagihkan oleh laksamana kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun dari harta tersebut. Akhirnya berita kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh laksamana telah sampai ke pengetahuan Patih Gajah Mada di Majapahit. Patih Gajah Mada tidak putus asa terus mencari orang yang dapat membunuh Sultan dan Laksamana Melaka.